Saturday, 12 September 2015

PENGALAMAN ANAK DEMAM HINGGA KENA TAHAN WAD

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog sayangmak.com yang dikasihi…
Saya nak kongsikan pengalaman anak deman dan kena tahan wad di hospital beberapa bulan lepas.

Mula-mula, saya dan suami membawa anak kedua kami, Arif ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk buat ujian darah bimbang denggi.Sebab Arif sudah demam on off masuk hari kelima. Sebelum ini kami tidak bawa ke klinik. Cuma beri ubat demam yang masih ada dalam peti ais sebab bulan sebelumnya Arif ada juga demam. Demam yang kali ini bermula pada pagi khamis hingga petang isnin tu, masih demam lagi. Arif bukan demam sepanjang hari. Contohnya pagi Arif sihat. Aktif bermain seperti biasa. Bila tidurkan pada tengahari atau petang, dia akan kembali demam dan merengek. Periksa suhu badan, memang tinggi. Ada sekali tu, hampir cecah 40 darjah celcius. Sampai menggigil. Padahal badan panas, tapi menggigil macam kesejukan. Selalunya saya akan cari selimut, selimutkan dia, kemudian peluk kuat. Bagi hilang menggigil. Lepas tu, bila dah tak menggigil, baru la letak dalam buai, pakai pampers je dan letak kain lembab kat kepala dan juga gosok dicelah-celah ketiak, tengkuk, paha dan seluruh badan. Memang dia marah kalau buat macam tu, tapi kenalah buat juga. Arif ni kalau letak cool fever tu, punyalah marah. Tak selesa agaknya. Lepas tu, beri ubat demam.  Beberapa jam selepas itu, pasti demamnya akan surut dan boleh aktif macam biasa. Kemudian, jadi lagi demam. Macam tulah selama 5 hari tu. Kami fikir mungkin sebab demam terkejut sebab malam sebelum demam tu, Arif jatuh buaian masa tengah tidur. Tali buai putus dan spring tidak kena dia. Mujur. Dia cuma menangis sekejap, kemudian pujuk-pujuk, tidur semula. Esok paginya, suhu badannya meningkat. Demam.

Masa kami bergerak ke hospital, badan arif masih panas. Pengasuh kata dia demam mula petang tu. Pagi ok macam biasa. Sampai di Hospital, terus mendaftar. Mujurlah tidak menunggu lama. Doktor periksa suhu, tengok tinggi, masukkan ubat bontot. Kemudian dihantar ke zon kuning. Sampai bilik pemeriksaan, nurse suruh basahkan kepala dan badan dengan kain lembab supaya suhu badan turun. Kemudian, ambil darah. Sementara tunggu keputusan darah, kami ke kantin hospital untuk makan sebab masa datang tadi, baru lepas balik dari kerja, mandi, solat, terus bersiap ke hospital. Tidak lama tu, dapat result. Mulanya doctor kata boleh balik. Tapi bila nurse periksa suhu badan, masih tinggi, tak turun2. Cubalah basahkan lagi badan dia. Tapi arif ni jenis fobia dengan bilik pemeriksaan tu. Masuk je, menangis macam apa lagi. Belum buat apa pun dah nangis. Kalau nurse atau doctor pegang atau sentuh, lagi la kuat dia menangis. Tiba-tiba doctor tu kata tak boleh balik pulak. Kena tahan wad sebab ada kuman dalam darah. Tinggi juga katanya. Pelik juga, tadi kata boleh balik. Lepas tu kata ada kuman dalam darah pulak. Tadi tu dia salah tengok keputusan ke. Pelik dah kami. Tapi, setelah suami berbincang dengan doctor, oklah, masuk wadlah. Tengok macam mana. Pertama kali masuk wad ni. Sebelum ini tak pernah lagi anak-anak kena tahan dalam wad. So, malam tu, tidur di hospital wad kanak-kanak di aras 6 dengan sehelai sepinggang sebab mana tau nak jadi macam ni kan. Huhu
Hampir tengah malam, doctor yang bertugas di wad mulalah buat sesi soal jawab. Jadi, kena cerita semua dari mula asal demam dan lain-lain maklumat yang diperlukan. Tetapi dari cara doctor tu, macam pelik kenapa nak kena masuk wad. Sepatutnya tidak perlu katanya. Tapi tidak mengapa katanya. Doktor decide nak ambil darah lagi untuk check jika kurang zat besi dalam darah. Awal pagi tu, Arif kenalah diambil darahnya lagi buat kali kedua. Sedih dan sayu sangat dengar dia menjerit kat dalam bilik rawatan tu. Saya kena duduk tunggu kat luar. “Mana mak?Mana mak?.....” itulah yang diulang-ulang sampailah keluar dari bilik tu dan nampak muka saya. Kesian sangat anak mak ni.. Yalah, saya pun jenis takut kalau kena ambil darah, bila bayangkan anak, macam manalah dia rasa. Mesti lebih takut lagi dan sakit..

Pagi esoknya, arif masih demam. Suhu badannya masih tinggi. Setiap beberapa jam, memang akan diberi ubat demam. Mujur arif jenis yang senang nak makan ubat. Kalau jenis susah makan ubat macam abangnya Aqil, jenuhla..Huhu.. Tengahari tu, doctor pakar datang.  Lawat dari katil ke katil. Sampai giliran arif, doktor periksa, ada bunyi sesuatu yang tidak kena pada paru-parunya. Arif diarahkan untuk buat xray dan ujian air kencing. Mungkin ada kuman disitu. Kami pun, ikutkan lah. Arif juga mula diberikan antibiotic melalui tiub yang dipasang ditangan, setiap 6 jam sekali. Menjelang petang, arif sudah tidak demam. Suhunya sudah normal seperti biasa hinggalah hari terakhir di wad. Alhamdulillah.. Cuma kuman di paru-parunya masih ada.

Hari ketiga, doktor pakar yang lain pula yang datang check. Tengok result xray, memang nampak ada kuman. Jadi, perlu teruskan antibiotic tu. Asalnya minta balik sebab tengok arif dah ok dah, tak demam. Biarlah berehat kat rumah saja. Tapi doktor kata kena duduk hospital sehari lagi sebab perlu teruskan pemberian antibiotic melalui salur darah kerana ia lebih berkesan berbanding pengambilan antibiotic jenis sirap. Betul jugalah, kalau yang masuk ikut tiub kat tangan tu, terus masuk ke salur darah. Kalau yang jenis makan, masuk kat usus dulu, proses, baru lah masuk ke tempat yang sepatutnya. Jadi lambat. Nak cepat baik, kenalah pilih cara yang paling berkesan. Nak tak nak, redhalah duduk wad sehari lagi.


Hari keempat, berdebar menunggu kedatangan doktor pakar untuk buat keputusan boleh balik tak dan apa keputusan ujian darah dan air kencing arif sebelum ini. Alhamdulillah, doktor kata ujian darah dan air kencing tu ok. Tiada yang mencurigakan selain memang ada kuman dalam paru-paru. Tidak serius dan tiada apa yang perlu dibimbangkan. Alhamdulillah bersyukur sangat-sangat. Jadi, lepas tu, continue ubat antibiotik jenis sirap setiap 6 jam sekali. Akhirnya, dah boleh balik… Alhamdulillah..

Balik tu, teruskan pengambilan antibiotik ikut masa yg ditetapkan. first tu bagi jam 7.30 malam, next 1.30 pg, 7.30 pg dan 1.30 tghri. Begitulah keadaannya sampai habis ubat tu. Mujur juga Arif ni sangat2 mudah bagi ubat. Kejut tengah malam untuk bagi ubat pun dia ok je. Still boleh dan tak meragam. 

Sejak itu, sampai sekarang, Arif jarang demam. Kalau demam pun sekejap je dah baik. Berbanding sebelum ini yang kerap sangat demam. Kini, barulah tahu puncanya. Mujur dapat kesan awal dan tidak memudaratkan..

Jadi, kepada ibu bapa diluar sana, kita haruslah sentiasa memantau keadaan kesihatan anak-anak kita. Demam sikit2 pun kita kena awasi dan jika berlarutan, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Cegah penyakit sebelum terlambat. Kejadiaan ini memang jadi pengajaran kat kami suami isteri agar tidak melengahkan masa untuk buat pemeriksaan di hospital jika demam sudah 3 hari.

0 comments: